Sunday, April 26, 2009

Asas Memancing

Bagi seorang yang baru hendak memulakan memancing atau menceburkan diri dalam hobi memancing, pekara utama yang selalu difikirkan ialah 'Apakah peralatan yang hendak dibeli'. Secara ringkasnya, antara peralatan yang paling asas yang perlu ada ialah Joran (Rod). Pun begitu jika ditinjau di pasaran terdapat pelbagai jenis joran. Setiap satu joran direkabentuk dan 'ditempa' mengikut fungsi yang tersendiri. Walaubagaimana pun untuk memudahkan kita memahami kategori joran ini, ada baikya kita kategorikan kepada 4 kategori* yang utama iaitu:

1. Pole Rod
2. Baitcasting Rod
3. Spinning Rod
4. Boat Rod
*Pemahaman bagi maksud kategori joran adalah berbeza-beza bergantung kepada persepsi individu. Apa yang cuba disampanikan oleh Team PACAT adalah klasifikasi fungsi asas bagi setiap joran yang dihasilkan.

Pole Rod
Pole Rod merujuk kepada joran yang paling asas iaitu seperti joran buluh atau batang bertam. Joran ini tidak mempunyai cincin mahupun pemegang kekili. Cuma di hujung joran terdapat seutas tali yang digunakan untuk menyambungkan tali utama.

Baitcasting Rod
Baitcasting rod
ini reka khusus untuk teknik pancingan ’casting’. Baitcasting Rod agak berbeza daripada kebanyakan joran kerana tempat meletakkan kekili (reel) di hulu joran (pemegang joran) direkabentuk menyerupai seperti pemegang pistol. Ini adalah kerana kekili pada joran ini akan diletakkan diatas joran. Bentuk pemegang seperti pistol ini akan membantu memudahkan pegangan pada joran dan kekili. Selain itu juga ciri-ciri lain pada joran ini ialah saiz cincin joran yang pertama adalah kecil.

Spinning Rod
Secara asasnya spinning rod ini adalah sama dengan baitcasting rod. Perbezaan utamanya terletak di tempat letak kekili dan saiz cincin pertama yang lebih besar. Lokasi perletakkan kekili bagi spinning rod ini adalah di bahagian bawah pemegang joran. Spinning rod ini direka khusus untuk teknik pancingan dasar namun boleh juga digunakan untuk kaedah ’casting’.

Boat Rod
Pada dasarnya boat rod ini adalah sama seperti joran-joran yang lain cuma boat rod adalah joran yang direka khas untuk teknik pancingan dasar dan tundaan di laut dalam. Oleh itu kebanyakan boat rod ini mempunyai batang yang keras dan besar. Di pasaran boat rod terdapat dalam bentuk spinning dan baitcasting. Ada yang panjang dan ada yang pendek bergantung kepada kekuatan joran. Kadangkala boat rod ini didatangkan dengan cincin khas beroda untuk melicinkan pergerakkan keluar tali dari kekili.

Dari 4 Kategori di atas setiap satunya boleh dipecahkan kepada beberapa kategori kecil yang lain pula mengikut rekabentuk dan fungsi joran. Sebagai contoh jigging rod juga adalah spinning rod kerana ia menggunakan kekili spinning walaupun ia direka khas untuk teknik pancingan mengunjun (jigging). Begitu juga dengan casting rod, ada yang menggunakan casting rod untuk teknik pancingan jigging. Sama lah juga dengan Surf Rod, ada yang spinning dan ada juga baitcast

Di pasaran joran-joran ini terdapat dalam pelbagai warna dan saiz. Harganya pula dari serendah RM10 hingga ada yang mencecah ribuan ringgit bergantung kepada di mana ia dihasilkan, bahan yang digunakan, aksi joran, kualiti, jenama dan banyak lagi faktor lain. Asasnya, setiap satu joran yang dihasilkan ’ditempa’ untuk diaplikasikan kepada suatu teknik pancingan yang tertentu.

Stella@Team PACAT

No comments:

Post a Comment